Tuesday, March 10, 2009

Insan efisien

Salam seindah Rabiulawal, bulan yang penuh mulia dan gemilang. Salam sesuci jasad dan roh Muhammad s.a.w yang agung, tanpa ragu dan penafian. Salam Maulidurrasul saya tujukan buat semua pengunjung blog yang tidak seberapa ini.

Nabi Muhammad s.a.w merupakan model, ikon, qudwah dan uswah yang mesti kita contohi. Tidak kira dalam aspek apa pun, sama ada aspek pembangunan sahsiah diri, intelektual, pembangunan institusi kekeluargaan, pembinaan masyarakat dan negara dan lain-lain. Bertepatan dengan hadith dari Anas b. Malik yang berkata : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w adalah manusia yang terbaik akhlaknya.”-Muttafaqun alaih.

Penerapan nilai-nilai Muhammad b. Abdullah dalam kehidupan merupakan perkara yang sangat penting kearah pemantapan sejagat. Bukan hanya persoalan bagaimana baginda tidur, makan, muamalah, berjiran dan sebagainya perlu disebarkan, malah persoalan bagaimana baginda membina daulah, menjana siyasah, mengkongkrit daulah juga perlu disemaikan dalam masyarakat. Baginda adalah insan efisien.

Saya yakin, jika kita meletakkan Nabi Muhammad s.a.w sebagai ikon dan idol tertinggi kita, pasti tidak wujud American Idol,Indonesian Idol atau lebih teruk lagi Malaysian Idol. Pasti juga tidak ada kes politik wang,‘lompat parti’,liberalisme,sekularisme,gejala pengkid dll.

Malangnya kini, masyarakat sudah hilang punca. Lapisan bawah yang bermula dari rakyat biasa hingga ke lapisan tertinggi dalam sesebuah negara, semuanya rosak dicemari noda. Andai ada yang menyemai dan mengamalkan agama dalam kehidupan mereka, ia hanya golongan yang segelintir cuma.

Statistik kes jenayah yang makin meningkat setiap tahun sangat membimbangkan. Ibubapa sudah tidak senang membiarkan anak mereka bermain walaupun di luar pagar rumah kerana khuatir dan bimbang apabila melihat kes penculikan kanak-kanak di merata tempat. Anak-anak gadis kian diulit kebimbangan, mempersoalkan bagaimana cara yang terbaik untuk menjaga diri. Warga emas yang sudah tiada kudrat semakin letih dan gusar memikirkan nasib anak muda kini yang merupakan generasi pemimpin masa hadapan.

Tika ini, baru kita saling tuding-menuding, saling tuduh-menuduh. Ini salah kamu, bukan salah saya.

Maka,pada hemat anda, siapakah yang bersalah?



Masturah Abu Bakar

1 comment:

Anak Pendang Sekeluarga said...

"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia." (Al-Anfaal 8:74)

Salam ziarah dari saya,,blog yang menarik ,jemput muzakarah di blog saya....dan jadikan blog saya sebagai rakan anda..tq