Friday, October 03, 2008

"Saya budak baru belajar.."


Salam Perjuangan, Salam Muhibbah, Salam Revolusi..

Transisi merupakan perubahan yang berlaku melalui beberapa peringkat. Contoh yang mudah untuk saya bawakan ialah transisi umur manusia. Daripada bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Bagi saya transisi ini berlaku dalam setiap agenda kehidupan individu. Bukan hanya perubahan umur sahaja, tetapi juga perubahan mentaliti dan gaya pemikiran.

Saya sudah lupa berapa umur blog saya yang tak seberapa ini. Pada awalnya saya hanya cuba-cuba. Daripada permulaan 'cuba-cuba' yang nampaknya sedikit berjaya, saya 'cuba-cuba' pula untuk membuat posting. Ia bergantung kepada apa yang saya alami dan lalui saat itu. Blog saya awalnya memang banyak artikel yang membicarakan tentang cinta. Ya, ia merupakan aspek kehidupan. Kemudian bila ada pembaca yang mengkritik blog saya dengan berkata "Kenapa blog ni asyik paparkan benda-benda tentang cinta je? Apa sebenarnya penulis nak sampaikan?"

Kemudian saya sedikit marah. Saya berkata dalam hati "Suka hati la, ni blog aku yang punya". Saya ego, tidak menerima kritikan. Tetapi itu ialah apa yang saya lalui. Lama kelamaan saya terfikir untuk membuat sedikit revolusi. Ubah blog template dan sebagainya. Nampak sedikit perubahan. Masa itu saya lebih gemar bicara soal Muslimah. Blog template saya ketika itu pun berwarna pink!

Lalu, zaman terus mengubah saya. Tika saya berjinak-jinak dengan tugas Dakwah dan Madrasah Tarbiyyah, saya kemudian banyak memaparkan artikel tentang dakwah dan tarbiyyah. Jelas, itulah apa yang saya lalui saat itu. Lagi, ketika saya diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan, lalu saya cuba menyelongkar dan menaip artikel tentang itu.

Mentaliti dan cara berfikir saya terus berubah masa demi masa. Ya, universiti dan aktiviti kampus mematangkan saya. Aktiviti outdoor(di luar bilik kuliah) lebih banyak membantu saya. Dengan keterlibatan saya dengan program-program MPP & JTK yang agak mampat saat itu, saya melatih diri saya berfikir lebih jauh. Dan hingga kini, saya benar-benar merasakan saya adalah seorang mahasiswa.

Ya! Mahasiswa perlu berfikir dan berubah. Masa demi masa, peringkat demi peringkat. Proses perubahan, tidak kira dalam jangka masa panjang atau pendek, ia sangat dituntut. Malah, banyak perkara di dalam Islam berlaku peringkat demi peringkat ; seperti penurunan wahyu.

Saya sedih dengan segelintir mahasiswa, memperlihatkan ceteknya gaya mereka berfikir. Teringat suatu hari, pensyarah bahasa Inggeris saya memberi arahan, "Sila tulis 2 masalah yang membebankan kamu, yang kamu hadapi sebagai seorang pelajar. Buat dalam kumpulan ya".

Saya sengaja biarkan rakan-rakan yang lain berfikir dan berbincang dan saya ketika itu hanya diam saja. Sengaja saya mahu lihat gaya pemikiran dan idea mereka.

Ada yang memberi idea,
"Haa, apa kata kita buat pasal masalah ni. Tentang cinta."

Ada yang begini,
"Ada seorang lelaki lembut ni dan dia selalu diejek dengan panggilan 'Sotong'. Dia rasa tertekan, dan inilah antara punca dia terus begitu."

Ada pula yang begini,
"Ada seorang perempuan ni. Dia dan bakal suami dia nak kahwin tapi dia masih belajar. Bla.. Bla.. Bla.. "

Aduh! Saya saat itu tidak tahu nak memberi respon yang bagaimana. Semua idea tak kena dengan jiwa saya. Hati saya memberontak,
"Ah, cuba la korang fikir pasal masalah ummat ke.."

Namun saya tetap memberi respon ketika teringat bahawa mereka ialah sasaran mad'u. Moga Allah bantu mereka.

Saya menyeru, ayuh mahasiswa!

Bangkit dari kepompong itu,
keluarlah dari belenggu itu,
kau bisa menggegar dunia dengan akalmu!

Namun, saya masih belajar dan aktiviti pembelajaran saya tidak pernah berhenti hingga saya meninggalkan alam ini. Saya masih muda untuk bicara soal perjuangan. Tidak seperti Tun Dr Mahathir, tidak seperti Perdana Menteri, bukan juga seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, malah, tidaklah seperti Dato' Seri Anwar Ibrahim. Nyata bahawa mereka lebih bijak mencatur agenda perjuangan dalam jalan yang berbeza. Nyata bahawa mereka lebih berpengalaman. Siapalah saya..

Maka pada hemat saya, saya perlu bimbingan yang efektif dan berpanjangan. Saya masih muda dalam arena ini, perlu sokongan yang jitu. Jika tidak, amat mudah untuk saya jatuh pabila saya melalui jalanan berduri nanti. Oleh itu, saya mengharapkan ilmu daripada sesiapa saja yang sudi memberi, dan saya sangat gembira menerima.

"Besar tapak tangan, nyiru saya tadahkan.."
"Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan.."


Faqir ila Rabbih,
Combat
1:20 a.m
3 Oktober 08

No comments: